Sunday, April 24, 2011

Nasihat Boomers untuk lelaki generasi X

Dipetik dari Utusan Malaysia,24042011

Hari ini aku hendak meneruskan nasihat kepada anak lelakiku. Tulisan ini merupakan lanjutan kepada apa yang dikatakan oleh dalam ruangan ini dua minggu lalu:

Oh anakku, sesungguhnya zaman sudah berubah. Kamu sebagai generasi X tentulah berbeza dengan kami generasi Boomers. Apatah lagi dengan generasi datuk kamu, GI.

Ok GI tu merujuk kepada generasi yang lahir sebelum Perang Dunia Kedua. Seperti datuk kamu. Aku ini Boomers yang lahir selepas Perang Dunia Kedua. Boomers merujuk kepada Baby Boomers, iaitu bayi-bayi di seluruh dunia yang begitu banyak lahir selepas perang. Boomers menggantikan generasi yang banyak terkorban dalam perang itu.

Dan kamu itu generasi X, anak-anak kami. Adik kamu generasi Y dan seterusnya generasi Z. Yang banyak obes, tidak dengar cakap orang tua kerana telinga disumbat earphone, dan tidur lewat serta bangun lepas habis subuh kerana otak sudah tersumbat dalam komputer dan anak-beranaknya seperti i-pod dan i-pad,

Apa yang aku hendak katakan di sini ialah mengenai bezanya generasi-generasi ini khususnya antara generasi aku Boomers dan kamu generasi X berhubung dengan soal perempuan.

Kalau terhadap generasi GI, kamu masih dapat melihat bagaimana nenek kamu melayan makan minum dan pakaian datuk kamu. Tetapi ibu kamu, yang tergolong dalam Boomers ini sudah tidak melayan ayah kamu seperti mana nenek kamu melayan datuk kamu.

Jadi sebagai anak-anak jantan generasi X, Y dan Z, janganlah kamu harap dapat layanan orang perempuan seperti mana yang dinikmati oleh datuk dan ayah kamu.

Malah ayah kamu ini pun sudah tidak begitu dilayan oleh ibumu.

Itulah yang menjadi masalah dalam kehidupan kami generasi Boomers. Pada satu pihak kami dahulu dipelihara oleh ibu, iaitu nenek kamu yang tergolong dalam generasi GI. Pada masa itu lelaki masih ditatang oleh orang perempuan.

Bila kami berkahwin pula, apa yang sedang berlaku ialah zaman transisi. Tidak seperti nenek kamu, ibu kamu bekerjaya dan menyumbang kepada dana keluarga dalam kehidupan seharian.

Sudah tidak timbul suami menyara isteri seperti yang berlaku pada generasi datuk kamu. Pada masa ayah sekarang ini, walaupun secara rasmi menyara keluarga merupakan tanggungjawab yang masih dipikul oleh ayah kamu, tetapi realitinya adalah berbeza. Ibu kamu bekerjaya dan telah memberi sumbangan kewangan yang banyak kepada kemakmuran keluarga.

Maksud ayah, bapa-bapa sekarang sudah tidak macam zaman datukmu dulu. Kerana imbangan ekonomi yang sudah berubah, ibu kamu mempunyai kuasa sama dengan ayah kamu dalam rumah.

Setelah hidup berpuluh-puluh tahun dengan ibumu, ayahmu ini sudah berjaya menyesuaikan diri dalam keadaan baru ini. Generasi ayah, Boomers telah melalui transisi perubahan ini. Dalam soal hubungan dengan orang perempuan, kami dididik secara tradisi oleh nenek kamu tetapi terpaksa mengubah suai pada realiti yang berbeza hari ini.

Apabila sumbangan ekonomi kepada keluarga sudah dikongsi bersama, maka tentulah kerja-kerja rumah yang nenek kamu pikul dahulu terpaksalah ditanggung oleh pihak suami juga.

Ibu kamu masih toleran dengan sikap ayah kamu yang tentunya liat untuk membantu hal-hal kerja rumah. Mereka faham ayah kamu ini tidak dididik untuk membantu kerja-kerja isteri.

Tetapi kamu tentulah sudah dididik berbeza oleh ibu kamu. Maka bersedialah bila berumah tangga nanti.

Politik dalam rumah tangga sudah berubah. Kamu tetap menjadi ketua keluarga. Tetapi kuasa eksekutif sudah berbahagi dengan isteri kamu nanti.

Sedangkan masa datuk kamu dulu, mereka memiliki kuasa eksekutif penuh dalam rumah tangga.

Cuma ingatlah bahawa kamu tetap seorang jantan. Kuasa yang separuh itu pula janganlah terhakis hinggakan isteri kamu mempunyai kuasa lebih daripada kamu.

Sebaiknya semua keputusan hendaklah dibuat dalam bentuk muafakat. Zaman sekarang macam itulah. Bukan macam dahulu apabila seseorang suami atau ayah memiliki kuasa mutlak.

Tetapi apabila berlaku pertembungan pendirian, maka jalan penyelesaian adalah melalui kebijaksanaan melalui tolak ansur. Inilah kemahiran yang penting untuk dipikul oleh anak-anak jantan. Ini dinamakan diplomasi rumah tangga.

Akhirnya, ingatlah anakku, seorang lelaki tidak akan dapat memenangi sebarang perdebatan dengan seorang wanita.

Ini kerana dari segi fitrahnya, sejak kecil lagi wanita lebih banyak cakap daripada lelaki. Dikatakan bahawa mereka bercakap tiga kali ganda banyak daripada lelaki.

Dengan banyak bercakap, tentulah kemahiran mereka untuk menang hujah adalah lebih tinggi.

Justeru, gunalah cara diplomasi dan strategi licik . Bagaimana caranya? Tidak bolehlah diceritakan di sini, nanti orang perempuan tahu.

No comments:

Post a Comment